Diagnosis: ECP berkesan rawat angina
Selepas memenuhi setiap sesi rawatan, pesakit bebas daripada masalah sakit dada atau serangan jantung
ANGINA, masalah sakit dada atau berasa tidak selesa pada bahagian itu terjadi apabila otot jantung tidak mendapat darah yang cukup. Biasanya angina menyebabkan seseorang itu berasa seperti dadanya ditekan atau dipicit. Rasa sakit itu mungkin boleh terjadi pada bahu, lengan, tengkuk, rahang dan bahagian belakang.
Angina bukan masalah kecil kerana ia adalah simptom koronori arteri (CAD), iaitu salah satu masalah sakit jantung.
CAD terjadi apabila plak terbina di koronari arteri. Plak yang terbina ini dinamakan �atherosclerosis�. Apabila plak terbina, koronori arteri menjadi sempit dan kaku. Aliran darah ke jantung merosot seperti mana berlakunya penurunan bekalan oksigen ke otot jantung.
Rawatan mungkin memerlukan pesakit berada di bilik bedah, tetapi jika itu bukan pilihan anda, mungkin anda perlu tahu mengenai mesin ECP.
Mesin “External Counter Pulsation” (ECP) satu teknik non-invasif yang membaiki fungsi jantung dengan menurunkan kadar tekanan pada jantung. Pada peringkat global, ECP sebenarnya sudah agak lama diperkenalkan dalam dunia perubatan.
Penggunaannya diluluskan Food and Drugs Administration (FDA) pada 1997. Bagaimanapun, cetusan ideanya bermula pada 1950an.
Dalam rawatan ECP, tiga balutan dibuat pada betis, pergelangan tangan dan bawah pinggang. ECP akan memantau aktiviti jantung dan setiap balutan itu bertindak balas dengan isyarat. Apabila jantung berehat antara denyut nadi (diastole), tiga balutan itu akan mengembung. Ia membantu perjalanan darah ke jantung.
Di Malaysia, hanya beberapa hospital saja memilikinya termasuk hospital kerajaan, tetapi ia tidak begitu popular. Ini mungkin disebabkan masyarakat tidak tahu kelebihannya atau kos rawatannya membebankan.
Perunding Perubatan, Dr Mohamed Ebrahim Sulaiman, berkata seseorang pesakit itu perlu tahu mengenai ECP sebelum memutuskan yang terbaik dalam rawatan angina.
“ECP bertindak meningkatkan aliran darah ke jantung dan koronori arteri dengan menekan darah keluar daripada bahagian bawah badan ke jantung. Sesetengah orang merujuknya sebagai �natural bypass�, ECP menstimulasi pertumbuhan saluran darah baru di keliling arteri yang tersekat,” katanya.
Ebrahim berkata, setiap gelombang tekanan mempengaruhi denyutan nadi sekali gus meningkatkan aliran darah yang sampai ke jantung.
Kelebihan ECP menangani masalah angina terbukti dalam satu kajian membabitkan pesakit angina kronik pada 1995. Dalam kajian itu, ECP didapati mengurangkan masalah angina dan keputusan yang sama dilihat pada pesakit lain. Keputusan kajian itu diterbitkan dalam “Jurnal of American College of Cardiology” pada Jun 1999.
Katanya, beliau sudah menggunakan CardiAssist ECP System sejak April 2002.
“Kebanyakan pesakit saya adalah mereka yang sudah menjalani pembedahan pintasan jantung, angioplasty dan lain-lain rawatan tetapi semua itu tidak menyelesaikan masalah. Pada mereka yang gentar menghadapi pembedahan, ECP boleh membantu,” katanya.
Pada peringkat global, Klinik Mayo dan Pusat Rawatan John Hopkins membuat pengumuman berkaitan penggunaan terapi ECP berkesan hingga 90 peratus dalam rawatan angina.
Katanya, selepas memenuhi setiap sesi rawatan, pesakit bebas daripada masalah sakit dada atau serangan jantung.
“Mereka tidak perlu menjalani pembedahan pintasan jantung atau angioplasty untuk tempoh antara tiga hingga lima tahun, tetapi pesakit memerlukan 35 kali rawatan ECP bagi mendapatkan keputusan memuaskan,” katanya.
Pada 2001, Persatuan Jantung Amerika dilaporkan berkata, ECP boleh menjadi rawatan alternatif kepada angioplasty atau lain-lain pembedahan dalam merawat pesakit angina.
Bagaimana ECP boleh membantu pesakit?
- Tekanan pada betis meningkatkan aliran darah ke koronori arteri. Koronori arteri menerima darah daripada jantung selepas setiap denyut nadi, pengembungan pada bahagian betis membantu lebih banyak aliran darah ke jantung.
- Apabila jantung mula berdegup, ECP mengempiskan betis dan menghasilkan satu aksi seakan vakum pada arteri. Keadaan ini mengurangkan kerja otot jantung dalam mengepam darah ke arteri.
Siapa yang tidak boleh menerima rawatan ECP?
- Mereka yang menghadapi masalah kegagalan fungsi jantung yang kronik
- Masalah injap jantung yang kronik
- Masalah denyut nadi (arrhythmias)
- Pesakit tekanan darah tinggi yang tidak mengambil ubat
- Masalah peripheral artery disease (PAD – masalah arteri darah di kaki)
- Hamil
Kelebihan ECP
- Membantu mengurangkan simptom angina
- Mengurangkan keperluan pengambilan ubat disebabkan angina
- Mengurangkan kekerapan dan kesakitan pada dada.
- Prosedur ini juga membantu keupayaan pesakit melakukan senaman.